Adakah perniagaan anda semakin berkembang? Keuntungan perniagaan enterprise anda semakin banyak hingga melebihi RM25,000?
Anda tahu tak anda boleh upgrade nama syarikat enterprise anda kepada syarikat sendirian berhad. Banyak manfaat yang anda boleh dapat bila tukar Enterprise ke Sdn Bhd terutama dari segi modal dan pengiraan cukai.
Kebanyakan peniaga memulakan perniagaan sebagai syarikat milikan tunggal dengan nama enterprise.
Cara Upgrade Dan Tukar Enterprise Ke Sdn Bhd
Tapi bila perniagaan dah semakin maju, semakin banyak perkara yang perlu diuruskan sebagai pemilik perniagaan. Yalah, dengan pelanggan yang semakin ramai, mesti anda terfikir nak tambah modal, nak tambah pekerja, dan macam-macam lagi.
Sebenarnya, tak susah pun nak tukar Enterprise ke Sdn Bhd. Maklumat pendaftaran yang diperlukan hampir sama sahaja dengan pendaftaran enterprise. Cuma bab nak sediakan dokumen-dokumen saja yang agak leceh dan memeningkan.
Tapi tak apa, biar pening-pening demi sebuah peningkatan. Kalau anda berminat, anda boleh baca lebih lanjut tentang cara tukar Enterprise ke Sdn Bhd.
Sediakan Maklumat Asas
Pertama sekali, anda akan memerlukan maklumat asas syarikat seperti nama dan alamat. Anda boleh gunakan nama asal seperti dalam enterprise, dengan syarat nama tersebut belum digunakan lagi sebagai nama syarikat sendirian berhad. Kalau nama itu sudah diambil, anda perlu sediakan senarai 3 nama yang anda ingin gunakan untuk syarikat sendirian berhad anda.
Contohnya, kalau anda sebagai pemilik WIWI Enterprise nak bertukar kepada WIWI Sendirian Berhad, tapi dah ada syarikat lain yag daftar sebagai WIWI Sdn Bhd. Terpaksa anda cari nama lain seperti Wanita Sdn Bhd, Wanita Ini Sdn Bhd ataupun Wanita Inspirasi Sdn Bhd.
Anda juga perlu sediakan maklumat dan salinan kad pengenalan pengarah syarikat. Jika anda sebagai pemilik juga bertindak sebagai pengarah syarikat, letakkan nama dan alamat anda. Tetapi kalau anda nak lantik orang lain sebagai pengarah, letakkan nama dan alamat beliau ke dalam borang pendaftaran. Pastikan alamat tersebut ialah alamat tetap di dalam negara Malaysia.
Selain itu, anda juga perlu menyenaraikan 3 aktiviti utama syarikat. Jika syarikat anda ditubuhkan haya untuk satu tujuan, contohnya menjual barangan kosmetik, nyatakan satu tujuan tersebut sahaja.
Lantik Setiausaha Bertauliah
Kedua, anda akan dikehendaki untuk melantik Setiausaha Syarikat yang bertauliah. Setiausaha ini mestilah seorang setiausaha berlesan dan mempunyai pengalaman tentang undang-undang dan Akta Syarikat.
Setiausaha syarikat mestilah arif dalam selok-belok undang-undang dan pengurusan pendaftaran. Ini dapat mengelakkan sebarang kesalahan yang boleh mengakibatkan kos tambahan semasa pendaftaran syarikat anda.
Anda juga perlu buat perbincangan dengan teliti bersama setiausaha syarikat supaya beliau dapat memahami serta membantu anda dan syarikat anda ke haluan yang anda inginkan dengan tepat. Setiausaha juga boleh memberikan cadangan lebih lanjut untuk anda melebarkan sayap syarikat anda apabila anda bertukar dari Enterprise ke Sdn Bhd.
Daftar Di Pejabat SSM
Setelah memastikan semua dokumen lengkap, anda boleh pergi ke pejabat SSM berhampiran dan mulakan proses pendaftaran syarikat di sana. Isikan borang pendaftaran syarikat dengan lengkap dan tunggu proses dalam 5 hari bekerja. Kos pendaftaran pula serendah RM300.
Kelebihan Upgrade Dan Tukar Enterprise Ke Sdn Bhd
Kredibiliti
Nama sendirian berhad dipandang sebagai entiti perniagaan yang lebih kukuh berbanding perniagaan enterprise. Penyata kewangan juga akan diaudit secara professional oleh pihak ketiga.
Maka, agensi kewangan akan memandang tinggi dan lebih mempercayai rekod syarikat anda sekiranya anda ingin meminta bantuan kewangan dan modal tambahan.
Potensi semakin besar
Apabila bertukar nama Enterprise ke Sdn Bhd, pelanggan dan pembekal akan nampak dengan jelas bahawa perniagaan anda semakin maju dan semakin kukuh. Lebih mudah untuk dapatkan pasaran yang lebih luas serta mencari pembekal yang lebih besar.
Liabiliti terhad
Konsep liabiliti terhad menjamin modal dan aset anda tidak akan terjejas sekiranya timbul masalah dalam syarikat. Kerugian yang dialami terhad kepada modal dan aset yang telah dilaburkan sahaja.
Kesinambungan
Syarikat sendirian berhad boleh dipindah milik dan tidak perlu dibubarkan sekiranya pemilik meninggal dunia. Ia boleh diwariskan kepada ahli keluarga atau dipindah milik kepada pemegang saham yang lain.
Tukar Nama Pemilik Syarikat Enterprise
Tukar nama pemilik syarikat enterprise adalah proses penting dalam perjalanan korporat yang memerlukan perancangan teliti dan pelaksanaan yang cermat. Dengan mengikuti langkah-langkah dan pertimbangan ini, syarikat dapat menjalankan transformasi identiti korporat dengan berjaya dan memperkuat kedudukan mereka dalam pasaran.