Bila nak buka perniagaan kita mesti dengar ayat “Dah daftar SSM?” Apa itu SSM atau apa nama sebenar SSM ni? SSM ni adalah singkatan bagi Suruhanjaya Syarikat Malaysia. SSM merupakan sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). SSM merupakan penyatuan Pejabat Pendaftaran Syarikat atau dalam Bahasa Inggeris, Registrar of Company (ROC) dan Pejabat Pendaftaran Perniagaan atau Registrar of Business (ROB). Teruskan membaca blog ini untuk ketahui lebih lanjut tentang SSM.
Apa Itu SSM?

Apa sebenarnya fungsi SSM dan kenapa kita kena mendaftar di bawah SSM? Fungsi SSM bukan sahaja mendaftar syarikat dan perniagaan tetapi juga sebagai penguatkuasa undang-undang dan peraturan korporat. SSM bertanggungjawab mengawal selia:
- Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001,
- Akta Syarikat 2016 (Akta 777)
- Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778)
- Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197)
- Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012
- Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100)
- Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28)
- Peraturan-Peraturan Skim Kepentingan 2017
- Peraturan-Peraturan Syarikat 2017
- Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957
- Peraturan-Peraturan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (Perlesenan Setiausaha 2017)
- Peraturan-Peraturan Perkongsian Liabiliti Terhad 2012
- Kod Bidang SSM
Selain itu, SSM juga bertanggungjawab dalam penambahbaikan kerangka undang-undang korporat. Sebagai contoh, Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Korporat (JPUK) telah ditubuhkan oleh SSM bagi mempersoal apa, kenapa, bagaimana dan siapa dalam mengkaji dan memberi saranan penambaikan undang-undang korporat di Malaysia.
Fungsi seterusnya adalah bertanggungjawab ke atas fi atau caj lain yang ditetapkan di bawah undang-undang yang dinyatakan di atas. Di sini tugas SSM termasuk memungut, mentadbir dan menguatkuasakan pembayaran-pembayaran tersebut. SSM juga bertindak mendorong dan memantau tatalaku sama ada di dalam organisasi SSM sendiri mahupun entiti luar termasuk syarikat, kumpulan industri, badan ikhtisas dan perniagaan yang berdaftar di bawah SSM. Ini adalah bagi memastikan pentadbiran korporat yang baik. SSM juga bertanggungjawab menjalankan segala kegiatan bermanfaat yang diarahkan oleh Menteri dan juga memberi nasihat kepada Menteri secara am mengenai penambahbaikan tentang aspek-aspek perbadanan, syarikat dan perniagaan.
Setelah mengetahui fungsi-fungsi SSM, mari kita lihat apa pula kuasa yang ada pada SSM. SSM berkuasa menggunakan semua harta Suruhanjaya bagi tujuan bermanfaat termasuk mendapatkan pinjaman dan menggadai harta tersebut. SSM juga berkuasa mengenakan caj dan fi di atas arahan Menteri, melantik perunding, pakar dan ejen luar atau bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain bagi membantu dalam menjalankan fungsi-fungsi di atas dan memberi pinjaman kepada pekerja di atas kelulusan Menteri.
Badan Berkanun di Malaysia
Badan berkanun ni agensi separa kerajaan yang mana penubuhannya adalah di bawah Akta Parlimen atau Enakmen Dewan Undangan Negeri yang mempunyai kuasa tersendiri dalam membuat keputusan tetapi tertakluk di bawah pemantauan kerajaan. Contoh badan berkanun lain termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Tabung Haji, Bank Simpanan Nasional, dan sebagainya.
Kalau nak tau lebih lanjut mengenai SSM boleh ke laman web rasmi SSM iaitu www.ssm.com.my. Tapi, kalau anda mahu akses maklumat bisnes anda bukan di sini ye. Anda perlu login di www.ezbiz.ssm.com.my. Di sana, anda boleh mendapat semua butiran tentang perniagaan anda. Kami juga ada berkongsi cara-cara login SSM melalui laman web tersebut dalam blog yang lain. Layari blog-blog kami di https://daftarsyarikat.net bagi mengetahui tips-tips dan penerangan tentang daftar syarikat di Malaysia. Bagi memudahkan anda dalam menjawab persoalan anda dengan lebih pantas, sila ajukan pertanyaan anda di talian Whatsapp kami dan kami akan membantu merungkai permasalahan anda.